Jumat, 22 Januari 2010

BUKIT KEPONG

Biodata Pengarang

Ismail Johari dilahirkan pada 13 Mac 1947 di Tanjung Karang, Selangor. Beliau mendapat pendidikan rendahnya di SRK Datuk Manan. Beliau kemudian mendapat pendidikan menengahnya di Sekolah Menengah Tanjung Karang dan Kelang. Ismail Johari kemudian melanjutkan pelajarannya ke Sekolah Menengah Alam Shah, Kuala Lumpur sehingga tahun 1966. Beliau mula berkhidmat dalam perkhidmatan polis selama 20 tahun mulai tahun 1969. Pada masa yang sama, beliau telah melanjutkan pelajarannya dalam bidang Komunikasi Massa di Universiti Sains Malaysia. Beliau kemudiannya melanjutkan pelajarannya ke peringkat Sarjana dalam bidang Pentadbiran Sistem Keadilan Jenayah di Amerika Syarikat. Ismail Johari telahpun memegang beberapa jawatan yang penting dalam perkhidmatannya sebagai seorang polis iaitu di Interpol, Cawangan Khas, Cawangan Siasatan Jenayah dan sebagai pensyarah di Maktab Diraja Polis di Kuala Kubu Baru. Semasa perkhidmatannya, beliau ditugaskan untuk mengumpul data bagi pengkajian semula sejarah Bukit Kepong. Ismail Johari kemudiannya menulis skrip filem Bukit Kepong iaitu peristiwa pertempuran 18 anggota polis berserta anggota keluarga mereka dan penduduk Kampung Bukit Kepong menentang 200 orang komunis. Ismail Johari kemudiannya meletak jawatan sebagai anggota polis dan menjadi pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau kemudian berhenti selepas beberapa ketika dan menjalankan perniagaan sendiri sehingga hari ini sebagai Konsultan Keselamatan Swasta.

Sinopsis Keseluruhan

Novel ini dikembangkan dengan pengutaraan peristiwa darurat pada tahun 1948. Salah satu tindakan yang dibuat ialah pembesaran pasukan polis. Othman Yusof dan Kassim Berjaya mengikuti latihan di Kuala Lumpur selama enam bulan sebelum dilantik menjadi konstabel polis. Sebelum menghadiri latihan, Othman ditunangkan dengan Limah. Mereka dinikahkan setelah Othman tamat latihan.

Limah menyertai suaminya yang bertugas di Pagoh. Pada suatu hari, Limah, Leha, dan Mek Mah menaiki bas ke Muar. Bas yang dinaiki mereka ditahan pengganas komunis. Harta benda penumpang dirampas, kemudian penumpang-penumpang dipaksa menanggalkan pakaian; dan bas itu dibakar. Mangsa-mangsa itu pergi ke Kampung Raja untuk mendapatkan bantuan.

Lektuan di kawasan itu semakin agresif. Bukit Kepong tidak berkecuali. Penghulu Ali Mustapha memohon anggota polis ditempatkan semula di Bukit Kepong. Permohonan itu diluluskan. Sementara itu, Aziz Tompok, Saibun dan Harun Nuik berjaya membunuh dua orang pengganas komunis yang cuba mengganggu mereka di dalam hutan. Ekoran peristiwa itu, Unit Pengawal Keselamatan Kampung dan Unit Parang Panjang ditubuhkan di Bukit Kepong. Penghulu Ali berusaha keras menggagalkan dakyah komunis Melayu pimpinan Madera.

Sarjan Jamil mengetuai Balai Polis Bukit Kepong yang telah dinaikkan tarafnya. Wongli dan Tucksai serta orang-orang mereka telah mengugut dan menyeksa ibu dan isteri Saibun. Rumah Saibun dibakar. Semua isi rumah itu terkorban. Tindakan komunis berlaku serentak dengan gerakan kemerdekaan dan usaha Inggeris menyelamatkan kepentingan mereka. Banyak pembunuhan dilakukan.

Lans Koperal Jidin dan Othman mematahkan percubaan Ahlam menghantar makanan kepada komunis. Sebagai akibatnya, isteri Ahlam diseksa oleh Kwanpin. Kwanpin bergabung dengan Lektuan dan Chanfei untuk menyerang Balai Polis Labis. Usaha itu digagalkan oleh Inspektor Chin, Inspektor Majid, dan Leftenan Brown.

Lans Koperal Jidin, Othman , Yusof, EPC Ahmad Khalid dan EPC Mohd Top ditukarkan ke Balai Polis Bukit Kepong. Limah, yang sedang mengandung, dihantar ke kampung. Pada suatu petang, Othman ternampak akan beberapa tanda pelik. Ketika sedang minum di sebuah kedai, Othman melihat seorang pemuda Cina memerhatikan balai polis yang dilawati OCPD Pagoh, Inspektor J.J. Raj Jr. Pada masa itu, orang Cina sedang menyambut Tahun Baru Cina.

Lektuan kembali dari mengintip. Strategi serangan dibincangkan dengan Changfei, Lausan, dan Pengtuan. Tucksai dan Ahmeng dihantar ke balai polis untuk mengintip. Waktu sudah tengah malam. Ahmeng mendakwa anaknya mati kerana terjatuh ke dalam telaga. Suasana kecoh berlaku di tempat kawalan kampung. Isteri Awang Tui hendak bersalin. Bidan terpaksa dicari. Salakan anjing menimbulkan tanda tanya pengawal kampung. EPC Jaafar ternampak akan lembaga manusia lalu menyuruhnya memperkenalkan dirinya. Bunyi tembakan berlaku. Lebih kurang 180 orang komunis menyerang Balai Polis Bukit Kepong yang hanya mempunyai 18 anggota.

Pihak polis menentang musuh mereka dengan berani walaupun seorang demi seorang menemui ajal mereka. Anak-anak buah Penghulu Ali gagal membantu kerana dipintas oleh pengganas komunis. Apabila kekuatan polis berkurangan, pengganas komunis memgeluarkan isteri-isteri dan anak-anak polis yang masih hidup. Kompleks polis itu dibakar. Yusof Rono dan EPC Ahmad Khalid yang luka parah berjaya menyelamatkan diri mereka daripada terbakar. Sebelum keluar dari bangunan yang terbakar itu, Othman memindahkan Lans Koperal Jidin ke tempat selamat. Kaki dan tangan Othman terkena akan tembakan tetapi dia terselamat kerana sempat menyorok di bawah lubuk sungai.

Setelah pengganas komunis meninggalkan kawasan itu, mereka yang masih hidup mencari anggota keluarga masing-masing. Jamilah menjumpai ayahnya, Abu Bakar Daud yang luka parah. Anak-anak buah Penghulu Ali tiba untuk memberikan pertolongan. Tidak lama kemudian tiba pula anggota-anggota polis pimpinan Inspektor J.J. Raj Jr. Othman, Abu Bakar, Yusof Rono, EPC Ahmad Khalid, Lans Koperal Jidin dibawa dengan bot ke hospital Muar. Lans Koperal Jidin meninggal dunia dalam perjalanan.

Limah, yang telah melahirkan seorang anak lelaki, menjadi gila apabila diberitahu bahawa suaminya, Othman telah dibunuh. Kepulangan Othman tidak memberi kesan kepadanya. Othman ditukarkan ke Alor Setar. Dia meletakkan jawatan dan menjadi penoreh getah apabila penyakit Limah semakin buruk. Kaki Othman pula terpaksa dipotong apabila penyakit yang dideritai sebagai akibat serangan pengganas itu mula menular. Kekesalan terhadap layanan yang diberi kepada pejuang sepertinya daripada pelbagai pihak mendorong Othman menjadi manusia yang tidak mahu bergantung pada orang lain.

Tema dan Persoalan

Tema

Novel ini mengungkapkan tema perjuangan dan keberanian anggota polis berserta penduduk kampung Mukim Bukit Kepong dalam mempertahankan kompleks polis serta Mukim Bukit Kepong daripada serangan komunis sewaktu berlakunya darurat di Tanah Melayu. Keistimewaan perjuangan dan keberanian mereka ini agak luar biasa. Keistimewaan ini bukan sahaja terpamer menerusi keberanian luar biasa 18 anggota polis dan penduduk kampung Bukit Kepong, malah terpamer menerusi kekentalan semangat juang mereka. Hal ini terbukti apabila mereka mampu bertahan sehingga empat jam dalam usaha mempertahankan Balai Polis Bukit Kepong.

Persoalan

1) Jasa yang tidak dihargai

Jasa dan pengorbanan Othman seakan-seakan tidak dihargai selepas peristiwa tragis itu. Semasa beliau berada di hospital, hanya pada hari-hari permulaan sahaja beliau diziarahi, tetapi pada minggu kedua tiada sesiapa yang melawatnya.

2) Semangat kerjasama

Ini terbukti apabila kerjasama yang diberikan oleh polis dan penduduk Mukim Bukit Kepong dalam mendepani dakyah dan kejahatan pengganas komunis. Dalam hal ini, penduduk Mukim Bukit Kepong telah menubuhkan Unit Pengawal Keselamatan Kampung dan Unit Parang Panjang untuk mendepani karenah komunis. Mereka juga telah berusaha membantu anggota polis semasa komunis menyerang Balai Polis Bukit Kepong.

3) Sikap tidak prihatin

Ini dapat dilihat menerusi kesukaran Othman mendapatkan bantuan kaki palsu daripada pihak-pihak berwajib walaupun beliau telah memberikan sumbangan yang besar terhadap keamanan negara. Othman juga mengalami kesukaran dalam mendapatkan pekerjaan selepas berhenti daripada perkhidmatan polis. Permohonannya tidak diendahkan oleh pihak swasta mahupun kerajaan. Akhir sekali, watak ini hidup merempat sementara menunggu saat-saat kematian.

4) Keberanian

Mereka bertempur selama hampir empat jam. Walaupun ada anggota polis yang terbunuh atau tercedera, perjuangan tetap diteruskan. Mereka lebih rela mati berjuang daripada menyerah kalah kepada pengganas komunis.Othman Yusof dan rakan-rakannya yang berjumlah 18 orang tetap berani menghadapi serangan komunis yang berjumlah hampir 200 orang.


Watak dan Perwatakan

Othman Yusof

ü Berasal dari Kulim, Kedah

ü Anak kepada Pak Yusof dan Mak Piah serta tunang kepada Limah

ü Bertubuh gempal, tingginya sederhana, dan berkulit cerah

ü Bekerja sebagai penoreh getah sebelum berkhidmat sebagai seorang polis

ü Seorang yang berdikari kerana dia tidak mengharapkan bantuan orang lain walaupun daripada anak kandungnya sendiri. Dia meneruskan hidupnya bersendirian sehingga akhir hayat.

ü Sedia berkorban nyawa demi kesejahteraan agama, bangsa dan negara. Dia pasrah walaupun sebelah kakinya kudung kerana terkena tembakan pengganas komunis dalam peristiwa berdarah di Bukit Kepong

ü Memiliki semangat juang dan keberanian yang tinggi. Beliau bersama anggota polis serta warga Bukit Kepong telah menafikan kemenangan mutlak pengganas komunis kerana banyak juga pengganas yang terkorbandan cedera.

ü Seorang yang bertanggungjawab. Ini dapat dilihat apabila kesedarannya untuk menganggotai pasukan polis demi menjaga keharmonian negara. Malah beliau bersedia untuk ditukarkan ke Bukit Kepong

ü Othman juga seorang yang penyayang. Semasa berada di Bukit Kepong, beliau sering mengutus surat kepada isterinya, Limahyang berada di kampung. Beliau juga amat mengambil berat tentang keadaan Limah ketika Limah sedang mengandung.

Limah

ü Limah merupakan anak kepada Mak Jah dan Lebai Karim.

ü Dia isteri Othman Yusof dan memiliki seorang anak lelaki hasil daripada perkahwinannya.

ü Dia taat kepada suami. Contohnya, dia sanggup mengikut suaminya bertugas di Pagoh, Johor dan meminta izin suaminya sebelum keluar dari rumah.

ü Pandai mengaji. Buktinya, dia mengajar anak-anak polis di berek itu mengaji ketika tinggal di Pagoh.

ü Dia juga seorang yang penyayang. Contohnya, dia menjadi sasau dan menangis tidak henti-henti setelah mengetahui tentang berita kematian suaminya.

Penghulu Ali Mustapha

ü Wakil penduduk di Mukim Bukit Kepong.

ü Pemimpin yang dihormati di mukimnya dan juga oleh kakitangan pejabat kerajaan di Muar.

ü Seorang yang berani. Beliau mencabar pengganas komunis yang mahu mengembangkan ideologi komunisme di Bukit Kepong.

ü Memiliki sifat yang tegas. Beliau mengarahkan anak buahnya menurunkan semula bendera komunis yang berkibar megah dan menggantikannya dengan bendera Johor. Beliau tidak mahu pengganas komunis bertapak dan bermaharajalela di bumi Johor.

ü Pintar dan bijak mengatur strategi. Beliau meminta pelbagai bantuan semata-mata untuk mempertahankan kubu kuat Bukit Kepong.

Sarjan Jamil Mohd Shah

ü Merupakan seorang anggota polis yang taat. Dia tetap pergi ke Bukit Kepong apabila menerima arahan walaupun ketika itu isterinya baru saja melahirkan anak bongsunya.

ü Dia juga seorang yang penyayang. Buktinya, sebelum memulakan tugas di Bukit Kepong dia telah bermesra dan bergambar dengan anak-anaknya dan isterinya.

ü Seorang yang cekal. Buktinya, dia tabah menghadapi pelbagai masalah atau cabaran ketika bertugas di Rumah Pasung Bukit Kepong yang serba kekurangan.

ü Dia mempunyai sikap yang berani. Buktinya, dia memimpin sepasukan 18 orang anggota polis bertempur dengan 200 orang pengganas komunis.

ü Seorang yang peramah dan mudah bergaul. Buktinya, dia pergi menghadiri kenduri yang diadakan oleh Penghulu Ali.

Binaan Plot

Permulaan

Dimulakan dengan gambaran suasana majlis memperingati jasa anggota polis dan warga Bukit Kepongyang terlibat dalam peristiwa berdarah di Bukit Kepong semasa zaman darurat di Tanah Melayu.

Perkembangan

Diteruskan dengan gambaran awal kesengsaraan hidup penduduk di Tanah Melayu pada zaman darurat. Di sini, pengarang turut memaparkan tempat-tempat yang menjadi sasaran pengganas komunis, antaranya termasuklah pekan kecil Kulim di Kedah. Pengarang mengembangkan ceritanya dengan memasukkan watak utama dalam cerita ini, Othman Yusof. Cerita terus berkembang dengan memaparkan Othman yang memohon untuk menjadi anggota polis walaupun mendapat bantahan ibunya. Kemudian diteruskan dengan majlis pertunangan antara Othman dan Limah dan meneruskan kehidupannya sebagai pelatih polis dan selepas habis berkursus sebagai polis. Kemudian Othman dan isterinya berhijrah ke Pagoh, Johor.

Perumitan

Dimulakan dengan konflik keganasan komunis yang merampas wang, barang kemas, dan barang-barang dari penumpang yang sedang dalam perjalanan pulang ke Pagoh. Mereka meminta semua penumpang berbogel lalu membakar bas tersebut.

Klimaks

Berlaku ketika pertempuran antara 18 anggota polis dan sebahagian warga Bukit Kepong dengan pengganas komunis yang menyerang kompleks polis di Mukim Bukit Kepong.

Peleraian

Pihak polis dan warga Bukit Kepong mengalami kekalahan. Kompleks polis di Bukit Kepong musnah dan banyak anggota polis yang terkorban. Kekalahan itu dianggap sebagai kekalahan dalam kemenangan kerana pengganas komunis terpaksa berhempas-pulas untuk mengalahkan mereka. Malah, terdapat juga pengganas komunis yang cedera dan terkorban. Cerita ini diakhiri dengan kisah kesengsaraan Othman Yusof yang hidup melarat kerana mengalami kecacatan di kaki kirinya sebagai akibat terkena akan tembakan sewaktu menentang pengganas komunis di kampung Bukit Kepong.

Teknik Plot

Unsur saspens

Unsur ini boleh diperhatikan ketika pertempuran antara 18 anggota polis berserta warga Bukit Kepong dengan pengganas komunis. Peristiwa ini banyak mengundang kematian dan kecederaan di pihak anggota polis serta warga Bukit Kepong. Bahagian ini dikatakan mengandungi unsur saspens kerana pembaca solah-olah tidak sabar untuk mengetahui pasukan yang menang dalam pertempuran itu dan bagaimanakah nasib pejuang-pejuang yang terlibat dalam pertarungan itu.

Latar

Latar Tempat

ü Kampung Keladi, Kulim.

Iaitu tempat kelahiran Othman.

ü Pagoh.

Tempat Othman mula-mula berkhidmat.

ü Rumah Pasung Sungai Petani.

Tempat ketika Othman menjalani temu duga dan akhirnya berjaya terpilih untuk mengikuti latihan kepolisian.

ü Sungai Muar.

Alat perhubungan utama penduduk mukim tersebut.

Latar Masyarakat

ü Masyarakat yang memiliki semangat juang yang tinggi.

Mereka sanggup berjuang menentang pengganas komunis walaupun sedar akan bahaya yang akan menimpa mereka.

ü Masyarakat yang bekerjasama.

Pasukan pengawal kampung dan penduduk kampung bekerjasama memadamkan api , merawat mangsa yang cedera, mencari mangsa yang terbakar, di samping menyediakan makanan serta minuman.

ü Masyarakat yang terpengaruh dengan perjuangan komunis.

Kebanyakan anak muda Cina terpengaruh dengan perjuangan yang sia-sia.

Latar Masa

ü Masa yang melatari novek ini ialah sekitar tahun 1948, iaitu pada zaman darurat.

ü Sepanjang Othman menjalani kursus polis.

ü Ketika bas yang dinaiki oleh Limah dari Pagoh di rompak oleh pengganas komunis.

ü Sewaktu peristiwa tragis berdarah berlaku di Balai Polis Bukit Kepong.

Gaya Bahasa

Personafikasi

ü Dia tidak jadi membunuh musuhnya yang sudah rebah mencium bumi itu.

ü Matahari sudah mahu membenamkan dirinya di ufuk barat.

Metafora

ü Ekor matanya.

Ekor dan mata ialah suatu perbandingan yang tidak sama sifatnya.

Peribahasa

ü Bendera Merah bersimbolkan tukul dan sabit di tiang bendera.

ü Dia terbujur berhampiran dengan Muhamad Jaafar yang masih nyawa-nyawa ikan setelah mengalami cedera parah semenjak awal pertempuran tadi.

Hiperbola

ü Mereka cuma memerhatikan kedua-duanya terbujur di atas tanah bermandikan darah.

ü Masing-masing terpaku melihat marak api yang menjulang.

Nilai

Nilai

ü Kasih sayang. Othman sangat menyayangi isterinya, Limah sehingga sanggup meletakkan jawatan apabila sakit jiwa yang dialami oleh Lemah semain serius.

ü Kesabaran. Othman tetap bersabar apabila menghadapi peristiwa yang meyayat hati, iaitu isterinya menjadi gila kerana terkejut menerima berita “kematiannya”.

ü Keberanian. Othman dan semua anggota di Rumah Pasung Bukit Kepong tetap berani menentang pengganas komunis sehingga ke titisan darah yang terakhir, walaupun bilangan anggota polis sedikit.

ü Tolong-menolong. Orang kampung saling membantu dan menolong mangsa yang tercedera atau yang mengalami kejutan akibat daripada serangan komunis.

ü Kerajinan. Semasa menjadi penoreh, Othman menjalankan kerjanya dengan tekun dan semasa menjadi polis, dia menjalankan tugasnya dengan rajin dan berdedikasi.

ü Berdirikari. Sifat ini tergambar pada watak Limah. Dia yang selama ini tinggal bersama-sama dengan ibu bapanya, dapat hidup secara berdikari di berek polis setelah menjadi isteri Othman. Malah, dia mengajar kanak-kanak mengaji untuk mengisi masa lapangnya.

ü Pengorbanan. Sebelum membenarkan Othman bercuti selama sebulan, OSPC Strathern telah mengucapkan terima kasih atas pengorbanan Othman dan memberikan derma peribadi sebanyak seratus ringgit kepada beliau.

ü Saling menghormati. Nilai ini boleh dilihat pada watak semua anggota polis di rumah Pasung Bukit Kepong. Anggota pangkat bawahan menghormati Sarjan Jamil sebagai ketua mereka manakala Sarjan Jamil pula menghormati semua anak buahnya itu.

ü Ketaatan. Nilai ini jelas terpancar pada watak semua anggota polis. Walaupun sibuk bertugas, mereka tetap menunaikan solat.

ü Kebijaksanaan. Apabila melihat ramai rakannya yang terkorban, Othman menyerang pengganas komunis dengan menggunakan dua laras senjata, walaupun terpaksa berlari ke sana ke mari. Tindakannya itu, adalah untuk mengelirukan pangganas komunis sehingga mereka menganggap bahawa bilangan anggota polis masih banyak.

ü Keyakinan. Setelah semua bahagian rumah pasung terbakar, Othman berasa yakin bahawa dia dapat menyelamatkan diri dengan berlari ke arah sungai Muar.

ü Semangat cintakan negara / Patriotik. Semua anggota polis dan orang kampung memiliki sengat nasionalisme yang tinggi sehingga mereka sanggup mengangkat senjata untuk menentang pangganas komunis.

Pengajaran

ü Kita mestilah mempunyai semangat juang dan keberanian yang tinggi.

Anggota polis serta warga Bukit Kepong bertempur mati-matian walaupun terpaksa berdepan dengan bilangan musuh yang berlipat ganda banyaknya.

ü Kita haruslah bersifat setiakawan.

Keserasian yang wujud antara mereka telah melambatkan kemenangan komunis. Malah, pihak komunis juga gagal memproleh kemenangan mutlak kerana banyak juga antara pengganas tersebut yang tercedera dan terkorban.

ü Kita haruslah bersedia berkorban dalam segenap aspek demi mewujudkan keamanan dan kesejahteraan Negara.

Sebagai contoh, Othman sanggup meninggalkan kampong halamannya dan berhijrah ke Pagoh dan seterusnya ke Bukit Kepong demi berkhidmat untuk negara.

ü Janganlah sesekali kita memperdagangkan tanah air kita untuk kepentingan peribadi. Perbuatan Madera dan Kandar yang telah memperdagangkan tanah air kita kepada pengganas komunis semata-semata untuk memperoleh kepentingan peribadi adalah suatu perbuatan yang tidak bermoral.

ü Kita mestilah menyuntik semangat nasionalisme yang tinggi ke dalam diri kita

Warga Bukit Kepong dan anggota polis memiliki semangat nasionalisme yang tinggi sehingga sanggup mengetepikan kepentingan peribadi.